Mini Cart

  • No products in the cart.

6 Petua Menghilangkan Jerawat Dengan Mudah

Masihkah ada lagi dikalangan anda yang mahu mengikut petua nenek moyang kita untuk menghilangkan jerawat?

Jika ya, sudah tentu ada sebab tersendiri mengapa anda masih mahu mengamalkan petua nenek moyang kita untuk menyelesaikan masalah jerawat di muka. Sebenarnya, percaya atau tidak, petua nenek moyang kita ini ada yang memberi kesan efektif dalam menyelesaikan masalah jerawat di muka dan tambahan pula, ia mudah didapati seperti boleh diperolehi di belakang rumah mahupun di kabinet dapur.


Petua Hilangkan Jerawat Dengan Mudah


Petua-petua ini juga dikenali sebagai cara tradisional oleh nenek moyang kita di mana mereka sudah mencuba pelbagai cara dan akhirnya bertemu solusinya. Senang cerita, mereka sudah pun membuat eksperimen dan mereka sudah pun berjumpa jawapan untuk menyelesaikan masalah jerawat ini. Kita sebagai cucu cicitnya, ikutilah cara atau petua yang telah mereka berikan, mana tahu ia sesuai dengan kulit anda dan jenis jerawat yang tumbuh di muka.

Untuk pengetahuan anda, jerawat mempunyai pelbagai jenis antaranya jerawat batu, jerawat pasir, jerawat nasi dan jerawat kecil. Dari segi rawatan bagi setiap jenis jerawat tersebut kemungkinan ada perbezaannya tetapi tidak salah untuk mencuba pelbagai cara dan petua yang telah diberikan. Yang penting jangan mudah berputus asa untuk tampil cantik dan miliki kulit yang lebih licin.

Serbuk Kunyit

Pernah tak anda terfikir tentang serbuk kunyit boleh membantu menghilangkan jerawat di muka? Tentu tidakkan kerana kebiasaannya serbuk kunyit ini sering diguna pakai dalam bidang masakan seperti menggoreng ikan, ayam serta menjadi pewarna kuning untuk gulai masak lemak. Caranya mudah sahaja untuk penyediaan rawatan ini, iaitu campurkan sedikit air dengan serbuk kunyit. Kacau sehingga sebati dan sapukannya di bahagian jerawat anda. Perlu diingatkan bahawa lakukan amalan ini ketika waktu malam dan waktu anda sedang bercuti dari bekerja kerana serbuk kunyit ini akan meninggalkan kesan sedikit bewarna kuning pada kulit wajah anda. Jangan risau kesan warna kuning ini akan hilang dalam masa sehari sahaja.

Bawang putih

Petua nenek moyang kita yag mengatakan bawang putih boleh menghilangkan jerawat sebenarnya bukanlah ketinggalan zaman kerana baru-baru ini ada satu video vlogger dari Canada yang telah viral satu dunia yang menunjukkan hirisan bawang putih mampu menghilangkan jerawatnya. Kaedah ini disokong oleh Doris Day iaitu doktor pakar kulit yang merupakan penulis buku 1001 Questions and Answers about Acne berpendapat cara ini memang berkesan kerana bawang putih mempunyai antioksida yang tinggi. Selain itu, bawang putih juga mempunyai kandungan allicin yang mampu membunuh bakteria dan virus jahat dalam tubuh badan kita. Nah, ini menunjukkan bahawa petua nenek moyang kita sebenarnya adalah efektif dan memberi kesan positif terhadap menangani masalah menghilangkan jerawat.

Caranya adalah potongkan bawang putih menjadi hirisan besar, kemudian sapukannya ke tempat bahagian jerawat tumbuh. Gosokkan selama 1 minit sehingga jus bawang putih keluar. Biarkan ia semalaman dan anda boleh lihat hasilnya. Selain cara tersebut, anda juga boleh hancurkan bawang putih dan campurkannya dengan susu untuk diminum. Selepas beberapa hari, cuba anda lihat kesannya.

Air Basuhan Beras

Bagi cara penyediaan air basuhan beras adalah, selepas anda membersihkan beras diperiuk, asingkan air basuhan tersebut di bekas berlainan. Ambil air basuhan beras tadi, basuhkan ke seluruh wajah anda sehingga rata. Biarkan ia selama 10 hingga 20 minit, kemudian bersihkannya dengan air bersih. Mungkin ada di kalangan anda mempersoalkan bagaimana air basuhan beras mampu menghilangkan jerawat di muka secara logik dan saintifiknya? Adakah ia sudah terbukti berkesan mengikut kajian dari segi sainsnya? Jawapannya mudah sahaja, sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa beras mempunyai banyak vitamin serta mineral seperti vitamin D, niacin, kalsium ,fiber, iron dan thiamine. Vitamin dan mineral ini dapat membantu dalam penjagaan kulit wajah dan kebanyakan mereka yang suka kaedah semulajadi ini, akan mengamalkan petua ini sebagai salah satu rutin harian mahupun minggun untuk membantu mereka mencantikkan wajah.

Apabila ditanya kepada mereka yang sudah mengamalkannya secara konsisten, ada yang memberikan jawapan yang positif terhadap kesan membasuh muka menggunakan air basuhan beras. Mudahkan cara penyediaannya.

Wap Panas

Selalunya petua yang diperturunkan nenek moyang kita adalah mudah untuk dilakukan dan bahan-bahannya juga senang untuk didapati begitulah juga petua yang seterusnya ini iaitu petua menghilangkan jerawat menggunakan wap panas. Caranya adalah letakkan air panas ke dalam besen kecil atau besar yang sesuai untuk diwapkan di wajah anda. Kemudian, tutupkan kepala anda dengan tuala dan wajah anda menghadap besen tersebut untuk diwapkan. Setiap sesi, buatlah selama 3 hingga 5 minit kemudian buka kembali tuala yang menutupi kepala dan besen. Jadikan ia sebagai rutin mingguan mahupun harian anda, supaya mendapat hasil yang berkesan.

Anda jangan terkejut apabila dikatakan amalan ini juga salah satu rutin yang sering dilakukan oleh artis-artis korea. Kerana mereka percaya dengan wap air dapat membantu membuka pori-pori dan menghalang masalah keradangan di lapisan kulit.

Kulit Buah Oren

Apabila anda sudah makan buah oren, jangan buang kulitnya kerana ia banyak memberi khasiat terhadap kulit muka anda antaranya adalah dapat menghilangkan jerawat di muka mengikut petua orang lama. Caranya adalah, kisarkan kulit oren sehingga hancur kemudian sapukannya kepada jerawat di muka atau boleh juga disapukan keseluruh wajah anda. Anda juga ada pilihan untuk tambahkan yogurt ke dalam kisaran kulit buah oren beserta dengan sedikit air bersih. Kulit buah oren ini terkenal kandungannya yang kaya dengan vitamin C serta tinggi antioksida.

Amalkan 2 atau 3 kali seminggu untuk mendapat hasil yang anda inginkan. Pada masa yang sama, anda juga digalakkan untuk makan isi buah oren tersebut, supaya mendapat kesan yang baik untuk luaran dan dalaman badan.

Kelapa Parut

Kita biasa dengar tentang kelapa parut dan santan dapat membantu melebatkan rambut tetapi kali ini kelapa parut juga dapat membantu menghilangkan jerawat di muka. Ambil sebiji buah kelapa kemudian parutkannya.Hasil parutan tersebut, sapukan dan tempelkan di bahagian jerawat pada muka anda. Biarkan selama setengah jam atau satu jam sehingga ia betul-betul kering. Bilas wajah anda dengan air bersih. Lakukan petua ini secara konsisten untuk mendapat hasil yang memuaskan.

Kentang

Kentang merupakan salah satu jenis tumbuhan yang sering digunapakai untuk bahan masakan tetapi kali ini kentang juga boleh merawat jerawat di wajah anda. Cara menghilangkan jerawat di muka anda menggunakan kentang adalah dengan potong nipis kentang tersebut dan letakkan potongan kentang ke atas wajah anda. Biarkan ia selama 10 hinga 15 minit kemudian cuci muka anda dengan air bersih.

Anda akan merasai kulit anda semakin halus dan lembut serta dingin sekali. Jangan lupa amalkan petua ini untuk beberapa minggu supaya kulit anda kekal cantik dan menawan.

Lemon

Khasiat buah lemon lebih kurang sama dengan buah limau iaitu tinggi vitamin C dan antioksida. Buah lemon ini boleh dijadikan sebagai salah satu bahan untuk menghilangkan jerawat di muka. Ambil sebiji buah lemon dan potong dua bahagian kemudian sapukan buah lemon tersebut pada bahagian jerawat di wajah anda. Biarkan ia sehingga kering dan bersihkannya dengan air bersih. Selalulah mengamalkannya untuk mendapat hasil yang berkesan.

Sebenarnya masih banyak lagi petua-petua yang boleh anda amalkan untuk menghilangkan jerawat di wajah anda. Petua di atas adalah di antara petua-petua yang paling popular di kalangan nenek moyang kita dahulu. Mungkin ada juga petua yang baru anda dengar, tetapi percayalah bahawa petua tersebut memang wujud dan sering diamalkan oleh mereka yang percaya dengan kaedah semulajadi ini. Bagi anda yang masih ragu-ragu untuk mengamalkannya, apa kata anda mengambil langkah pertama untuk memulakan salah satu petua menghilangkan jerawat di muka ini, mana tahu salah satu petua ini sesuai dengan kulit anda dan bonusnya ia sangat mudah diamalkan dan tiada kos tinggi diperlukan untuk mencantikkan wajah anda.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *